‘Marketing’ Jantung Perniagaan.
Setiap sesuatu ada jantungnya, dalam dakwah, jantung kepada kelestarian dakwah itu adalah tarbiahnya, dalam sebuah mesin, jantung kepada keupayaan mesinnya mungkin enjinnya (yang perlu di jaga rapi), begitu juga dengan perniagaan, apakah jantung perniagaan?
Jika kita sebut jantung, tentulah ia sesuatu yang penting, dan perlu senantiasa berdenyut!
(Gambar ketika di Bromo dalam trip Bestway Tours & Travel Sdn Bhd) www.bestwaytours.blogspot.com
Perniagaan, bagi seorang usahawan adalah sesuatu yang menyeronokkan. Perasaannya berbeza apabila kita di dalam sebuah organisasi bermajikan, dalam kerja bermajikan, kita harus melaksanakan mengikut ‘kata majikan’, kita lakukan kerana ‘kerja’ sama ada kita minat atau tidak, ia bukan persoalan. Namun, dalam kerja seorang usahawan, yang bekerja sendiri, dan memberi ruang pekerjaan kepada orang lain, suasananya amat berbeza.
Kebebasan dalam melakukan sesuatu yang di minati adalah sesuatu hal yang luar biasa, kebebasan inilah ada di dalam hati seorang usahawan. Tidak dapat di gambarkan, lebih-lebih lagi apabila usahawan itu Berjaya melakukan pekerjaannya, minatnya sehingga menjadi kenyataan. Percayalah, itulah sejarah bermakna bagi seorang usahawan dan ahli perniagaan.
Ketika perniagaan secara ‘main-main’ menjual kek lapis secara maya, keuntungan bukanlah faktor utama menjadikan saya bersemangat, faktor utama adalah melihat bagaimana perniagaan ini boleh berdaya saing dan berjaya. Faktor ini yang mendorong kepada kejayaan, bukannya mengejar keuntungan semata-mata.
Pengalaman menjual kek lapis secara maya, banyak mengajar saya erti sebuah perniagaan, walaupun kecil namun praktikal perniagaan itu ada semasa saya menjalankan perniagaan tersebut. Saya melihat sendiri bagaimana kaedah pemasaran yang saya buat sehingga carian google tapak blog saya antara 3 terbaik semasa itu. Saya memang tidak percaya, lamankeklapis.blogspot.com masa itu mendapat ranking antara 10 terbaik dalam carian google. Pada masa itu, tidak di hebohkan sangat tentang ads google dan seumpamanya. Saya belajar mendaki bagi memasarkan produk kek lapis maya saya, pada masa itu, forum-forum maya amat popular sekali, di mana di situlah penjual memperkenalkan diri mereka kepada pembeli. Tiada FB masa itu, tiada whatsapp, dan tiada sepertimana pemasaran maya seperti masa kini. Saya aktif bermain di forum, semata-mata untuk menjual produk kek lapis saya. Memang lucu, semata-mata join forum untuk menjual produk, seolah-olah seperti kita join group FB atau whatsapp, semata-mata hendak menjual produk kita!
Akhirnya, hampir banyak forum yang saya masuk, mungkin di sebabkan itu keyword ‘lamankeklapis’ mendapat ranking terbaik pada masa itu. Anda tahu apa yang berlaku apabila ranking kita di muka hadapan google? Ini seperti iklan kita di halaman pertama suratkhabar atau majalah!
Ketika perniagaan semasa itu, kami cuma menggunakan email untuk berhubung, entah pada masa itu email merupakan perhubungan utama dalam perniagaan. Semuanya melalui email, adapun google form juga di link kan ke email, maka semua order melalui email, pertanyaan dan alamat penghantaran juga ada di dalam email.
Jika tidak silap saya, menjelang 5 bulan sebelum Hari Raya Puasa, itu merupakan tahun kedua saya menjual kek lapis melalui maya, ketika itulah, bertalu-talu email masuk untuk tempahan kek lapis Sarawak. Selain tempahan langsung dari email, saya juga menerima pesanan dari agen yang di lantik di seluruh Semenanjung, seolah-olah saya ada agen di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Pesanan dari agen kadang-kadang melalui SMS, dahulu SMS boleh menerima patah perkataan yang panjang, tidak macam hari ini. Agen itu lah sebenarnya ‘networking’ dalam perniagaan. Kita memberikan harga jual (kerana kita hendak menetapkan harga jualan agar tidak di jual secara tinggi dan merosakkan jualan kita), jadi kita berikan setiap agen komisen jualan setiap kek lapis. Di sini ada 2 faktor yang kita sebagai pendiri peniaga harus tahu, mengawal harga kita, dan membina jaringan perniagaan kita.
Pada jualan tahun kedua lah, kesibukan saya di bulan Ramadan membungkus kek lapis Sarawak, sehingga rumah ibu saya ketika itu penuh dengan kek lapis Sarawak! Setiap malam, saya di temani isteri membungkus kek lapis untuk di pos pagi esoknya, dan setiap hari begitulah, sebelum berangkat ke pejabat, singgah di pejabat pos awal pagi. Pernah suatu ketika, kerana kerap sangat ke pejabat pos, orang pejabat pos pun sudah kenal dan tahu kita nak pos apa. Semuanya perlu di uruskan, semua ini adalah amanah pembeli yang harus di tunaikan.
Ketika jualan semakin rancak, jangan di kesampingkan duit jualan, duit jualan sekali-kali jangan di campurkan dengan duit persendirian. Saya sudah belajar mengasingkan duit ketika ini, orang berniaga wajib tahu perkara ini, betapa banyak peniaga gagal bab ini, akhirnya perniagaan mereka tidak ke mana, malah berhutang lagi dengan orang, amat mendukacitakan. Ketika itu, saya cuma menggunakan bag plastik sahaja, dan di dalamnya penuh dengan duit sehingga pernah di tegur oleh mak saya berkenaan perkara ini.
Selesai Ramadan, kek lapis semuanya sudah di pos, dan sepertimana saya maklumkan tadi, bukan keuntungan yang mendorong kita, namun menafikan adanya keuntungan dalam perniagaan adalah kecacatan dalam perniagaan. Saya semak penyata online maybank saya ketika itu, jualan kek lapis saya tahun tersebut lebih RM35,000.00! Saya pun tidak percaya, malah sebenarnya saya simpan penyata bank tersebut, cuma ia hilang entah di mana setelah berpindah rumah. Itu cuma nilai jualan, dan keuntungannya Alhamdulillah,tidak dapat saya nyatakan di sini kali ini, pembaca boleh agak-agak keuntungan tersebut.
Sebenarnya, saya bukan hendak menceritakan tentang jumlah jualan yang saya terima, tetapi lebih kepada bagaimana saya mendapat jualan tersebut? Apa yang saya ceritakan di atas, adalah ‘marketing’ secara tidak langsung, ‘marketing’ adalah bahasa orang berniaga, ‘marketing’ adalah bagaimana kita memasarkan produk sehingga produk itu dapat di jual, ‘marketing’ adalah kepercayaan, ‘marketing’ adalah pengurusan, ‘marketing’ adalah kawalan harga, ‘marketing’ adalah penanyangan produk di pentas maya, ‘marketing’ adalah promosi, dan akhirnya ‘marketing’ itu adalah jantung dalam perniagaan.
Ia senantiasa berdenyut bagi memastikan perniagaan itu hidup, ia senantiasa di gerakkan agar ia mampu memberikan manfaat jangka pendek dan jangka panjang untuk syarikat, ia sepatutnya di umpamakan jantung syarikat!
Setakat ini sahaja tulisan kali ini, inshAllah kita berjumpa di ruangan hadapan.
Bahtiar b Mahidin
Bestway Tours & Travel Sdn Bhd adalah syarikat bumiputera Islam, dan memasarkan pakej di dalam negeri seperti Sabah, Johor, Langkawi dan lain-lain, juga memasarkan pakej-pakej luar Negara seperti Singapura, Brunei, Kemboja, Ho Chi Minh, Indonesia dan banyak lagi. Selain itu kita juga mempunyai pakej umrah terkini dengan harga berpatutan. Info lanjut layari www.bestwaytours.blogspot.com atau layari FB kami Bestway Tour atau whatsapp kami di 013 446 2377





0 comments