PERSAINGAN DALAM PERNIAGAAN –
BERSAING ATAU ‘BERKAWAN’?
Saya teringat, ketika mula-mula membuka sebuah syarikat, ketika itu
sebagai sebuah syarikat yang baharu, ketika itu syarikat bumiputera Islam dalam
bidang syarikat saya tidaklah banyak di
Sarawak, boleh di kira dengan jari berbanding syarikat non muslim yang sudah
bertapak dalam bidang ini puluhan tahun. Dari segi penguasaan perdagangan,
merekalah menguasai kerana mempunyai asset kenderaan dan sudah lama dalam industri
ini, sedangkan kami baru hendak mendaftar sebuah syarikat Sdn Bhd, bidang ini mewajibkan syarikat Sdn Bhd sahaja
beroperasi di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia bukan syarikat enterprise
dan seumpamanya.
Selalu juga saya terfikir, bagaimana boleh paling kurang menempati mereka dalam perdagangan ini, bagaimana boleh ‘bermain’harga dengan mereka, bagaimana boleh bersaing dengan mereka walaupun dalam saingan dimensi kecil dengan modal terhad sebuah syarikat baharu. Yang paling penting, bagaimana ‘kek’ yang dahulu di monopoli oleh mereka, kita juga akan merasa sebahagian ‘kek besar’ tersebut? Fikiran saya terus ligat berfikir dan berfikir sehinggalah fikiran yang Allah kurniakan kepada kita menunjukkan jalan ke hadapan.
Saya juga terkesan, dengan beberapa pandangan bahawa bidang ini adalah ‘fragile’,
yang mudah pecah dan punah jika berlaku sesuatu termasuk jerebu, covid dan
seumpamanya, namun darah yang mengalir tidak ingin untuk mengaku kalah sebelum
mencuba. Ini cerita 10 tahun lepas. ‘Fragile’ nya perniagaan ini sehinggakan
pada masa itu tiada bank yang berani memberi pinjaman, termasuk SME dan
lain-lain institusi semasa itu, tiada berani memberikan pinjaman untuk
perniagaan ini, seolah-olah perniagaan ini umpama perniagaan tahap mewah.
Bermula dengan tiada apa-apa, kami mengorak langkah sedikit demi
sedikit, kami menganggap persaingan itu sebagai asam-garam dalam perniagaan,
persaingan itu sebagai batu loncatan untuk kami terbang lebih tinggi, persaingan
itu akan mendewasakan kami, persaingan itu akan menjadikan syarikat kami
berdaya saing dan persaingan itu akan menjadikan syarikat kami tahan lasak dan
berkualiti. Kami tidak mahu berasa lemah apabila berhadapan dengan syarikat gergasi
besar dan sudah lama berkecimpung dalam bidang ini. Kami membina dan berhadapan
persaingan ini dengan fokus dan kreatif.
Dalam perniagaan, apa-apa sahaja perniagaan, persaingan tetap wujud dan
akan terus wujud selagi mana perniagaan itu wujud. Bayangkan jika tiada
pesaingan, adakah anda rasa syarikat pengeluar minuman akan mengeluarkan air
perisa baharu setiap tempoh masa?, adakah anda rasa Pizza Hut akan mengeluarkan
‘design’ baharu pizza mereka? Adakah anda rasa kereta X50 proton akan berada di
pasaran? Semua perubahan dan pertambahan yang berbeza adalah hasil dari
persaingan antara mereka. Mereka bersaing dengan kualiti bukan pada harga!
Apakah anda rasa iPhone mengurangkan harga mereka apabila saingan mereka
menurunkan harga?
Kita sebagai usahawan, wajib menganggap persaingan itu dalam dimensi
positif bukan negatif sama sekali. Persaingan itu akan membawa syarikat kita
lebih kreatif dan lebih berdaya saing meningkatkan kualiti produk dan
perkhidmatan kita.
Mengenali Pesaing
Pesaing adalah ‘lawan’ kita dalam sebuah perniagaan, lawan tidak
semestinya musuh dalam konteks perniagaan. Contoh, KFC dan Pizza Hut sebenarnya
berpayung di bawah entiti yang sama, namun dalam pasaran luar, mereka bersaing sesama
sendiri dalam bidang makanan segera selain McD sebagai pesaing yang ada. Mereka
berlawan sesama mereka dalam menarik pelanggan makanan segera ke kedai mereka.
Mengenali pesaing kita adalah penting sepertimana dalam perlawanan
bolasepak, jurulatih akan memastikan strategi lawan mereka agar mereka boleh
menang ke atas lawan mereka masing-masing. Apabila kita mengenali siapa pesaing
kita, apa yang mereka lakukan, bagaimana mereka lakukan, apa kelemahan mereka,
apa kelebihan mereka, dan apa sahaja yang berkaitan untuk kenal pesaing kita,
maka kita akan dapat melihat ‘strategi’ mereka, dan bagaimana kita boleh
melihat peluang dan ruang untuk mencipta
kejayaan seperti mereka, atau lebih baik dari mereka.
Dengan mengenali beberapa pesaing, kita akan dapat meningkatkan produk
dan perkhidmatan kita. Contoh, dalam berhubung dengan bakal pembeli/pelanggan
kita dalam bidang perkhidmatan, apakah faktor pembeli/pelanggan akan membeli
dan menggunakan perkhidmatan kita? Apakah faktor mereka membeli dari pesaing
kita? Atau bagaimana mereka dapat pelanggan mereka,apa taktik dan teknik yang
mereka gunakan? Sebenarnya asasnya adalah kepercayaan, syarikat yang lama
bertahan dalam dunia perniagaan adalah syarikat yang mempunyai reputasi dan
kepercayaan. Mendapat kepercayaan pelanggan adalah keutamaan dalam apa-apa
perniagaan, tanpa kepercayaan, syarikat tidak akan berkembang dan maju ke
hadapan. Soalannya, bagaimana membina kepercayaan tersebut?
Dengan menilai pesaing dengan betul, kita akan dapat berusaha meletakkan
perniagaan kita di tempat sepatutnya. Yang jadi masalah, kita tidak melihat
persaingan ini sebagai satu peluang meningkatkan perniagaan, kita menganggapnya
sebagai halangan untuk berjaya.
Tingkatkan Kualiti Produk dan
Perkhidmatan
Dengan semangat bersaing, kita akan dapar berfikir secara kreatif dan
inovatif, dalam konteks yang luas, kita mencipta perbezaan dalam produk dan
perkhidmatan kita yang lebih baik dan mendekati pembeli kita. Dahulu, pada
awalnya, sebutharga yang kami berikan kepada pelanggan kami tidaklah berapa
menarik, malah tidak tertarik orang melihatnya. Apa yang kami buat, kami
dapatkan sebutharga dari beberapa buah syarikat ternama (pesaing) pada masa itu
dan bandingkan dengan sebutharga yang kami buat. Ternyata, sebutharga kami
tidak mesra, berserabut dan sukar di baca. Sejak dari situ, kami ubah format
sebutharga kami setiap tahun. Ya, setiap tahun kami ubah sebutharga kami
sehingga kami berpuas hati dan info yang sepatutnya sampai kepada pembeli dan
pelanggan sampai kepada mereka. Ini antara rahsia kejayaan kecil syarikat kami,
sebutharga yang menarik! Ini cuma satu contoh dalam banyak-banyak pembangunan
produk dan perkhidmatan yang kita bangunkan perbezaannya agar produk kita unik
dan menarik.
Banyak lagi, manfaat dengan bersaing terutamanya dalam mendapat
kepercayaan pembeli dan pengguna,dengan adanya saingan, kita mampu mendapat
pengalaman berharga mencipta produk dan perkhidmatan yang terkini, dengan
adanya saingan, kita tidak terperuk di tingkat yang sama setiap tahun, kerana
kita sedar pesaing kita juga semakin ke hadapan, akhirnya pesaing dan kita
sama-sama maju ke hadapan. Maka, di mana salahnya persaingan?
Kenapa apabila ada kedai buka kedai mini market di satu lokasi, dan pada
masa yang sama ada juga kedai runcit buka di kawasan yang sama, dan kita akan katakan
kedai itu akan menjatuhkan kawannya yang terlebih dahulu membuka perniagaan di
sana? Tidak wujud sama sekali, sebagai usahawan kita patut melihatnya sebagai
persaingan yang akan menyebabkan kedua-dua kedai ini menjadi lebih baik dan
cemerlang dalam melayani pelanggan mereka bukan sebaliknya. Usahawan yang takut
bersaing, bukanlah usahawan yang sebenar!
Definisi persaingan dan jalinan kerjasama adalah berbeza sama sekali.
Menafikan persaingan bukanlah lumrah dalam perniagaan, namun jalinan kerjasama
itu tetap ada walaupun dengan pesaing. Kita boleh bekerjasama dengan pesaing
dalam kerangka kerjasama yang di persetujui kedua-dua pihak, dalam masa yag
sama persaingan itu tetap wujud bagi sang usahawan. Inilah istimewanya
usahawan, mencipta produk dan perkhidmatan yang lebih baik untuk masyarakat
dengan bersaing, tanpa persaingan, kita mungkin akan lambat berkembang menjadi
masyarakat yang maju dan lebih baik.
Usahawan, jangan takut bersaing. Kita jual biskut, orang lain pun jual
biskut, kita bersaing biskut mana yang lebih sedap, lebih berkualiti, lebih
unik dan berbeza. Jangan cuba ‘mainkan’ harga, akhirnya kedua-dua pesaing akan
rugi dan pesaing lain yang akan muncul mengambil tempat.
Bersaing untuk lebih kreatif dan inovatif. Fikir dan terus berfikir!
Bahtiar b Hj Mahidin
Usahawan Sepenuh Masa
Saujana Indah Park, Kuching
[Penulis adalah pendiri Syarikat Bestway Tours & Travel Sdn Bhd, dan beberapa buah enterprise]

































