MALAYSIA DAN MAS
Dulu ketika zaman belajar, Malaysia cuma ada satu-satunya penerbangan yang memberikan khidmat penerbangan di Malaysia dan luar negara.
Apalagi dari Bumi Kenyalang ke Sarawak, hanya MAS lah yang menjadi perantara ke Semenanjung Malaysia. Terasa betul-betul jauh masa itu untuk ke Semenanjung, dan ketika itu juga sentimen perasaan menganggap jauh apabila kita ke Semenanjung.
Dahulu, ketika ke Johor menaiki MAS, harga sehala sahaja mencapai RM600-700, memang mahal, jika musim perayaan boleh sampai RM1,000 lebih. Tiada penerbangan lain masa itu melainkan MAS.
Ya, MAS dahulu nampak exklusif, apabila naik MAS terasa bangga, kerana bukan semua orang mampu naik kapalterbang semasa itu. Kita pun naik kerana tuntutan belajar atas pembiayaan ibu ayah. Betapa besar pengorbanan ibu ayah kita.
Walaupun MAS tidak mempunyai saingan dalam negara masa itu, MAS antara penerbangan yang mementingkan kebajikan penumpangnya. Siapa yang pernah 'terbang bersama MAS' tentu sudah acapkali merasai kebajikan kita betul-betul mereka jaga. Sesuatu yang penerbangan lain seperti AIR ASIA harus mengambil contoh. Sehingga kini, MAS masih mengekalkan kebajikan dan kebaikan ini.
Walaupun begitu, kerana lamanya MAS menguasai pasaran, mereka lupa memikirkan 'survival' apabila di saingi AIR ASIA di peringkat awal. AIR ASIA jika boleh di katakan adalah 'pembunuh senyap' MAS. Mungkin kita akan menyatakan, itu persaingan dalam perniagaan, dan perkara ini biasa.
Pertama yang membunuh daya jualan MAS adalah harga yang di mainkan oleh AIR ASIA. Dengan motto 'sekarang, semua orang boleh terbang', AA menjadi pemecah pasaran yang di monopoli oleh MAS sahaja, malah AA menjadi 'pemecah' fikiran bahawa sekarang boleh ke Semenanjung dari Sarawak dan Sabah atau sebaliknya dengan harga murah, malah tidak sampai RM100 ulang alik, malah ada yang berharga RM69 ulang alik. Dalam sejarah penerbangan Malaysia, tiket penerbangan lebih murah dari tiket bas!
MAS sebenarnya cuba bersaing, menyaingi AA dengan harga, namun yang paling rendah yang MAS boleh tawarkan adalah sekitar RM200 sahaja untuk Borneo ke Semenanjung. Tentu masyarakat akan memilih AA dari segi harga. Lebih murah, dan sampai ke destinasi. Dari segi logik, kenapa nak bayar mahal jika ada yang lebih murah. Ya, AA menguasai bertahun-tahun setelah pelancarannya, di dalam dan di luar negara.MAS mahu tidak mahu bersaing secara terbuka dan bukanlah 'abang long ' sekarang ini sebab sudah ada 'adik dan angah'. Apakah MAS mampu bertahan? Apakah MAS mampu apabila semua masyarakat yang pernah menaiki MAS dahulu, kebanyakkannya sudah terbang bersama AA dan MALINDO AIR.
MAS sudah mengambil langkah awal dengan meng'VSS' kan kakitangan mereka dalam usaha mengurangkan kos operasi mereka, maka ramailah yang berhenti kerja dari MAS, apakah MAS telah pulih dan bersaing? Sudah tentu tidak, MAS tidak sekali-kali dapat 'melawan' harga AA, AA yang bermula memainkan kaedah marketing dan kuantiti yang besar berbanding harga, sedangkan MAS mustahil dapat bermain cara begitu. Maka, apa strategi MAS untuk 'hidup' kembali?
Apakah menukar CEO baharu adalah jawapan terbaik? Apakah selepas ini akan menghentikan berberapa destinasi penerbangan? Apakah akan membuang lagi kakitangan mereka? Apakah ada strategi yang berbisa yang boleh menawan kembali tetamunya yang sudah beralih arah?
Mahu tidak mahu, MAS perlu memikirkannya dan berusaha dengan strategi baharu. MAS bukan kategori tambang murah, dan tidak boleh mengenakan tambang murah seperti AA. Adakah selepas ini, MAS akan menjadi syarikat tambang murah? Apakah ego lebih penting dari 'survival' MAS?
Tiada yang mustahil dalam dunia perniagaan, syarikat yang besar mempunyai potensi yang sama dengan syarikat yang kecil dalam konteks kegagalan, cuma lambat atau cepat sahaja. Syarikat yang besar memiliki overhead yang tinggi sedangkan syarikat yang kecil, overhead nya rendah. Apabila tingginya overhead, sedangkan jualan semakin menguncup, petanda untuk membaik pulih sudah sampai.
Awan di awanan akan senantiasa menyaksikan persaingan antara MAS dan AA, sama ada ada tindakan yang di ambil menguntungkan semua pihak selepas ini, harapan MAS akan terus membelah awan menuju kejayaan dan meneruskan kebajikan kepada semua tetamunya.
Bahtiar b Hj Mahidin
7 pagi, 9 April 2019
(Dalam penerbangan MAS ke Kuala Lumpur)






0 comments