Terasa berat hati sejak kebelakangan ini, untuk menulis dalam ruangan pandangan umum apa yang berlaku dalam masyarakat kita dan dunia.
Terasa ada air mata di kelopak apabila mengenangkan pelbagai peristiwa dari penghinaan sehinggalah pembunuhan.
Kadang-kadang ingin berdiam diri agar ia tidak menjadi propaganda dalam media mahupun dalam masyarakat setempat, namun propaganda itu telah menyebabkan semakin ramai yang menghina agama dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW.
Tanya kepada diri kita sendiri, apakah yang kita dapat daripada perbuatan menghina agama? selain pemusuhan dan kebencian?
Sebelum kita di kejutkan dengan pembunuhan di Christchurch, New Zealand, di Malaysia beberapa orang ditangkap dan dibicarakan kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Sebagai manusia berakal, tentu terencat akal apabila kita menghina seseorang, yang kita sendiri tidak pernah berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW, tidak pernah bersua dengannya, tidak pernah berbicara dengannya, dan tidak mengetahui betapa mulianya manusia yang bernama Muhammad SAW ini.
Teringat dengan pengajaran seerah yang di ceritakan kepada kami, mahupun dari riwayat seerah Nabi Muhammad SAW dalam buku-buku, betapa beliau merupakan manusia yang berlapang dada, berakhlak dengan semua manusia termasuk kepada seorang yahudi yang selalu menyakitinya!
Teringat kisah di penghujung dakwahnya, ketika di Taif, penolakan dakwah baginda Nabi SAW sehingga dia di perlakukan dengan balingan batu, sampai darah di tubuhnya semata-mata mengajak keimanan kepada Allah SWT.
Ya, kalau kita kenal Nabi Muhammad SAW sebagaimana kenalnya orang Islam kepadanya, tentu kita merasa marah dengan penghinaan terhadap beliau. Ya, kami marah apabila anda menghina Nabi kami, yang kami rasai Islam di saat ini kerana adanya wasilah Nabi Muhammad SAW. Yang kami nikmati iman sekarang ini adalah dari tauladan, sunnah dan tuntunan dari perilaku dan akhlak beliau baginda Rasulullah SAW.
Betul kami marah, sebab marah kami kerana anda menyatakan yang tidak benar tentang Nabi kami, kerana cinta kami kepada Nabi SAW sehingga kami sanggup mati kerananya (jika dia masih hidup). Itu yang sahabat baginda tunjukkan kerana sayangnya mereka terhadap baginda.
Ya, jika anda kenal siapa itu Nabi Muhammad SAW, anda tidak akan berbicara fitnah dan hina dengannnya melainkan kemuliaan.
Baru-baru ini, berlaku pembunuhan kejam oleh seorang pengganas, dengan menembak jemaah masjid ketika solat Jumaat, lebih 48 orang terbunuh dan 49 cedera.
Kita sangat menghargai kenyataan Perdana Menteri New Zealand yang mengecam pengganas tersebut, selaku umat Islam yang bersaudara, kematian mereka adalah satu kematian saudara Islam kita. Dunia perlu mengetahui, umat Islam tidak di sempadankan dengan geografi, kaum, bangsa, warna kulit dan lain lain, melainkan hanya aqidah mereka yang menyatukan mereka semua. Jangan hairan, apabila ada orang Islam di negara lain di bunuh, umat Islam di seluruh dunia akan mengutuk kezaliman tersebut. Persaudaraan Islam atas keimanan dan keesaan Allah tidak mengenang erti warna kulit.
Dalam konsep kemanusiaan, umat Islam tidak berkrompomi dengan pengganas, pelampau agama dan seumpamanya.
Ketahuilah, dunia, kami tidak pernah di ajar dalam agama kami untuk menghina agama, saling menghormati agama, tidak memburukkan agama lain, dan apalagi mengherdik agama lain. Maka, kami katakan di sini, untuk kami agama kami, untuk kamu agama kamu.
Cukuplah buat kami bersedih, Islam tidak diturunkan untuk menyatakan perang, Islam tidak diturunkan untuk persengketaan. Islam di turunkan dalam membawa bimbingan kepada manusia semuanya ke arah dunia dan akhirat.
Jika ada pembaca yang masih ragu-ragu tentang Islam, tentang Nabi Muhammad SAW, buatlah kajian tentang Islam dan Nabi Muhammad SAW. Percayalah, anda akan menemui keindahan dalam ruang hati tanpa prasangka.
Benarlah kata pepatah, kejahilan itu menjadi musuh dalam diri sendiri.
Kami mencari damai dalam perhubungan sesama manusia, persengketaan dan pemusuhan tiada dalam tujuan Al Quran di turunkan melainkan rahmat untuk sekalian alam.
“Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan sebuah Kitab (Al-Qur`ân) kepada mereka yang Kami telah menjelaskannya atas dasar pengetahuan Kami; menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”. [al-A’râf/7:52].
Jika anda memahaminya, tidak timbul anda membenci Islam dan umat Islam, malah mungkin suatu hari nanti, anda akan mengenali Islam dan menerima agama ini.





0 comments