Ali, Muthusamy dan Ah Chong.
Ketika kita membesar dahulu, bermula di tadika, seringkali kita di dedahkan dengan watak Ali, watak Muthusamy dan watak Ah Chong. Watak-watak ini mengambarkan 3 kaum terbesar di Malaysia, Melayu, Cina dan India, tanpa menafikan kewujudan kaum lain. Apabila kita belajar tentang etnik dalam kisaran sejarah Malaysia, akan adanya kaum Iban, Kadazan, Murut, Bajau, Melanau, dan pebagai lagi kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak.
Saya lahir tahun 1980an, dan saya tidak pasti adakah watak Ali, Muthusamy dan Ah Chong masih di gunakan lagi. Kita juga lahir dengan iklan televisyen terutamanya iklan korporat dengan memaparkan 3 kaum utama di Malaysia, dan ada juga kita lihat iklan Maybank memaparkan seorang Iban bercakap dialek iban untuk iklan Maybank 'harimau' mereka. Kita juga di paparkan dengan filem Malaysia yang pelbagai kaum, dan wataknya, kita ada Imuda, kita ada Francester Peter, Ravi (lupa nama sebenarnya), kita ada pelbagai lagi pelakon berbilang kaum.
Ya, Malaysia negara majmuk dengan pelbagai kaum dan satu bangsa, yakni Malaysia. Dari kecil kita didik dengan suasana harmoni, dari pembacaan pembelajaran, iklan televisyen sehinggalah kepada drama dan filem kita. Kita di didik dengan 3 watak Cina, Melayu dan India dan pelbagai kaum lagi yang wujud di Malaysia.
Retorik 3 watak ini bukan sahaja di dalam drama dan kaca televisyen, malah sebenarnya kita hidup di alam nyata dengan pelbagai kaum berada di hadapan, kiri, belakang dan kanan kita. Kita bertegur sapa dengan mereka setiap hari, kita berjumpa dengan mereka setiap hari, malah tidak keterlaluan jika kami katakan, jika di Sarawak mahupun Sabah, kita duduk minum bersama-sama tanpa mengira kaum. Hendak kita katakan di sini, kita harmoni bertahun-tahun lamanya, dengan pelbagai kaum dan dengan satu bangsa Malaysia.
Namun, akhir-akhir ini, kita semua di momok-momokkan dengan slogan yang tidak membina kita sebagai satu bangsa Malaysia!
Kita seronok dengan 'Ini Bumi Melayu!', kita seronok dengan 'Sarawakian for Sarawakian', kita mudah terpesona dengan slogan-slogan yang menjauhi kita semua dengan perpaduan kaum.
Tidak di nafikan, tentang hak perlembagaan dalam 'melayu', tidak di nafikan hak Sarawak yang di tuntut dalam MA63, dan lain-lain hak yang kita perjuangkan, namun tidaklah beeerti kita sewenang-wenang menidak hak kaum lain, menidakkan hak mereka untuk hidup harmoni, tidak juga untuk menyatakan 'Sarawak for Sarawakian' dan menidakkan hubungan baik kita dengan Semenanjung Malaysia!
Tidakkah kita sedar, betapa ramai orang Sarawak sudah berkahwin dengan orang Semenanjung? Orang Kelantan, Terengganu, Perak, Johor dan lain-lain negeri, ramai yang sudah mempunyai keturunan Sarawak dan Semenanjung. Dengan perkahwinan ini, dengan lebarnya keturunan ini, kita sudah memasuki fasa demi fasa, dalam hubungan kekeluargaan dengan Semenanjung dan Sarawak/ Sabah.
Tidakkah kita sedar, kemerdekaan kita adalah secara bersama, dalam susah dan senang? Tidakkah semua kaum menyumbang kepada kemerdekaan ini? Tidakkah kita membina Malaysia secara bersama-sama?
Kini, kita sudah nampak demi yang bernama politik, kita bermain dengan sentimen perkauman, bermain dengan sentimen ' aku Sarawak, ko Semenanjung'. Pimpinan politik kita masih menggunakan cara ini untuk survival politik mereka. Apakah ini 'budaya sihat?' Apakah kita hendak mendidik generasi kita dengan sentimen 'Sarawak for Sarawakian?'. Apakah Semenanjung juga akan berkira-kira dengan Sarawakian kerana kita orang Sarawak?
Pimpinan politik kita menyatakan, hanya orang Sarawak sahaja yang boleh jaga Sarawak? Apakah ini betul? Apakah itu ukurannya? Bukankah ukuran itu sepatutnya keadilan, bebas rasuah, bebas kroni politik, bersih dari rasuah, beretika menjalankan amanah, dan lain-lain nilai kebaikan tidak kira dia kaum apa sekalipun!
Maaf, artikel ini bukan artikel politik. Artikel ini cuba mengajak semua rakyat Malaysia, dengan satu bangsa Malaysia dengan pelbagai kaum untuk berfikir. Sudah sekian lama kita hidup dengan harmoni, namun semakin hari, kita semakin meregangkan hubungan sebagai bangsa Malaysia dengan slogan sampah!
Mari rakyat Malaysia, sudah-sudahlah bermain dengan api perkauman, hiduplah kita dengan aman damai sebagai satu bangsa Malaysia. Usahakan mengurangi sifat 'racist' dalam kehidupan kita, sungguh-sungguh bagi orang Islam sudah tertancap dalam hati mereka sebenarnya, firman Tuhan di bawah, terpulang kepada kita, sama ada hendak mengambilnya sebagai arahan dan tuntutan semangat pelbagai kaum dan bangsa di dunia, khususnya di Malaysia.
"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti". (Al Hujurat ayat 13)
Kita memerlukan kepimpinan yang jujur, yang tidak memnetingkan kehidupan politik mereka sahaja. Politik yang baik sepatutnya membangunkan jati diri masyarakat, pemimpin itu memimpin masyarakat ke arah kebaikan bukan sebaliknya, sama ada dari pembangkang atau kerajaan, kita tidak wajar bermain isu perkauman sebagai modal kita untuk politik!
Akhir sekali, ingatlah kita cerita gambaran Ali, Muthusamy dan Ah Chong, ketiga-tiganya manusia yang perlu kita tahu hak mereka dan hak kita ke atas mereka. Ketiga-tiganya, walaupun berbeza warna kulit, mereka tetap bangsa Malaysia, dan keturunan mereka semuanya ada menyumbang kepada pembangunan Malaysia sekarang ini.
Jika tidak generasi kita mengharmonikan bangsa Malaysia, siapa yang kita hendak harapkan?
Bahtiar b Hj Mahidin
27 November 2018
Metrocity, Kuching, Sarawak





0 comments