Radio Sarawak dan PBB
(Kenapa 'orang lama' masih mengundi PBB@BN kini dikenali GPS)
Pada awal tahun 1950 an, Radio Malaysia telah meluaskan siarannya ke Sarawak dan Sabah, walaupun sebenarnya Radio Malaysia telahpun wujud pada 1930an lagi di Malaya.
Parti PBB telah di tubuhkan pada tahun 1973, apabila parti Bumiputra dan PESAKA bergabung.
Radio Sarawak sebenarnya amat dekat di hati orang Sarawak, terutamanya generasi 1980an ke bawah, walaupun wujud pelbagai radio bermotifkan Sarawak seperti cats FM, ERA Sarawak, dan selainnya. Radio Sarawak tetap masih di dengari dan di minati oleh 'orang-orang' tua Sarawak, juga sebilangan orang muda. Nostalgia Radio Sarawak tidak boleh tidak kita nafikan bagi anak-anak Sarawak.
Teringat saya, setiap kali ke sekolah, saluran Radio Sarawak lah menemani halwa telinga ini, dan balik ke sekolah, Radio Sarawak juga akan menemani sepanjang balik ke sekolah. Mungkin, masa itu tiada siaran lain kecuali Radio Sarawak. Jika kita tanya orang lama dulu, jika berada di kampung, sudah tentu Radio Sarawak yang di mainkan, berbanding anak cucu mereka yang hendak mendengar saluran lain.
Berbalik kita dengan PBB, salah satu parti tertua di Sarawak, semenjak penubuhannya, ahlinya sahaja mencapai 300,000 orang dengan lebih 1,000 cawangan di seluruh negeri Sarawak.
Sejak tahun 1973, dan masih sehingga sekarang parti PBB inilah antara komponen terbesar dalam gabungan parti, dan menjadi 'kuasa' parti walaupun di dalamnnya ada parti-parti lain.
Parti inilah yang biasa di sebut-sebut di Sarawak, parti inilah yang sebati dengan orang Sarawak, parti inilah yang selalu mendapat undian terbesar dalam pilihanraya Sarawak, dan parti inilah di katakan banyak berjasa kepada Sarawak.
Ketika berada di kawasan kuat 'PBB', kita juga 'mencari faktor-faktor' kenapa masih kebanyakkan mereka memberi undi kepada PBB@BN Sarawak, walaupun kemudahan insfrastruktur, jalanraya tidaklah di tahap memuaskan, malah air pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. Mereka juga masih 'percayakan' parti ini.
Sebenarnya jika di kampung terutamanya di pedalaman, tiada 'gambaran' yang tepat untuk mereka untuk tidak mengundi selain PBB@BN. Sepertimana yang saya katakan tadi, hati mereka telah sebati dengan PBB. Cerita yang mereka dengar dari corong radio adalah Radio Sarawak, televisyen (jika ada) yang mereka lihat adalah saluran RTM dan paling maju adalah TV3 (pada masa pemerintahan BN@PBB). Janganlah kita harap makcik dan pakcik kita di kampung itu melayari fb seperti kita, 'google' maklumat seperti kita. Mereka 'dikekalkan' dalam keadaan begitu, agar undi itu setiap tahun memihak kepada mereka. Maka, gambaran itu sahaja yang mereka lihat. Adakah mereka tahu apa itu GST? 1MDB? Apakah isu ini relevan dengan 'gambaran' mereka?
Dikatakan juga, parti PBB ini adalah parti berjasa bagi orang-orang Sarawak dahulu, dengan jasa mereka dahulu, orang-orang lama Sarawak tidak mudah melupakan PBB, tidak semudah itu, walaupun di sesetengah tempat, 'kenangan jasa' ini tidak dihargai oleh pimpinan PBB dengan membiarkan mereka tanpa pembangunan asas yang sebenar.
Saya percaya, kewujudan PBB di Sarawak atas tujuan yang murni, niat menyatukan Orang Sarawak, namun lama-kelamaan, tujuan dan niat itu sekadar di atas kertas.
Orang mulai masuk PBB untuk mencari sesuatu, orang inginkan jawatan untuk mendapatkan sesuatu, mereka masuk PBB untuk mengekalkan 'kuasa', mereka masuk PBB agar projek dan bisnes menjadi milik mereka, mereka anggap PBB itu jalan mudah perniagaan dan projek kerajaan!
Mereka sudah di buai dengan kemewahan dan kemakmuran negeri ini. Projek-projek diberi atas nama kepartian, di namakan projek politik!
Mungkin tidak semua berniat sebegitu, malah ada di kalangan mereka adalah tokoh masyarakat, di senangi masyarakat, dan menabur bakti untuk kebaikan masyarakat. Kita hargai.
Mengimbas kembali 'sejarah Allahyarham Tok Nan', beliau bukan sahaja berani bersuara, malah tanpa peduli apa-apa ancaman politik untuknya. Kenapa beliau berani 'menyindir' dan 'mengugut' DS Najib dalam ucapan umumnya(boleh lihat dalam videonya Allahyarham menyindir DS Najib ketika lawatan DS Najib di Sarawak). Kita melihat disebabkan beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi untuknya. Di ceritakan, beliau bukanlah seorang pemimpin yang 'mudah' untuk memberi projek, walaupun ada hubungan saudara. Inilah karakter beliau, tiada kepentingan projek politik dalam dirinya, yang sukar kita dapati karakter ini dalam pimpinan sekarang.
Itu sejarah. Apakah sejarah itu kita nilaikan untuk menjadi iktibar dan panduan?
Jika kita 'membelek' fb kita pada hari ini, SPRM bekerja keras mencari bukti unsur-unsur rasuah termasuk di Sarawak. Kes Skandal Jepak Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat pengangkutan sewa kereta milik orang Sarawak yang di anugerahkan projek memasang dan membekalkan 'solar energy' di seluruh Sarawak bernilai RM1.25 billion tanpa melalui tender terbuka. Dikatakan, pengarah syarikat ini juga adalah Timbalan Ketua Bahagian Jepak PBB di Bintulu, benarkah?
Inilah krisis nilai yang berlaku di dalam parti, keberadaan dan adanya mereka di dalam PBB mempunyai tujuan lain, tidak lagi untuk berbakti kepada rakyat Sarawak malah mengkhianati rakyat Sarawak!
Dengan sebayanya usia PBB dengan Radio Sarawak, dan sehingga generasi baru hari ini, dan generasi lama yang sudah sedar, umpama 'bedok sudah berbunyi'.
Kita sebagai rakyat biasa, sebenarnya tidak banyak yang kita minta. Kita mi
nta kebajikan rakyat Sarawak di jaga, kita minta pimpinan yang berbakti dan jujur, kita minta tiada lagi kedengaran 'jika tiada hujan, kami tidak mempunyai air untuk di minum', kita minta sekolah-sekolah kita diterangi lampu, kita minta jalan-jalan kampung disinari cahaya, dan kita minta jangan khianati undi orang Sarawak!
Sehingga hari ini, kita masih mendengar radio Sarawak semasa balik dari kerja dan semasa pergi kerja, anehnya kita mendengar lagu Wawasan 2020 berkumandang semula dan semacam satu nostalgia lama dahulu oleh pemimpin yang hebat, Tun Mahathir. Ironinya pimpinan hebat itu sudah meninggalkan BN@UMNO dan berada dalam barisan Pakatan Harapan.
PBB, belajarlah melihat dengan mata hati, 'menelaah' satu-satu undi rakyat yang mengundi anda, sebelum undi itu akan menjadikan anda semua pembangkang di negeri Sarawak.
Kamek Sayang Sarawak
Bahtiar b Hj Mahidin
28 Jun 2018
10.15 malam
(Tadahan air hujan untuk keperluan harian, air inilah untuk mandi, memasak, dan sebagainya, gambar di ambil di sebuah rumah di Sibu)





0 comments