Bahtiar Bin Mahidin
GABUNGAN BARU, ORANG LAMA, GAYA BARU???
Apakah dengan meninggalkan BN dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak akan menyelesaikan masalah atau hanya bermain 'strategic planning'?
Hari ini, tercatat sejarah BN Sarawak telah di bubarkan secara rasmi, dan parti komponen Sarawak telah sepakat menubuhkan Gabungan Parti Sarawak yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP.
Keputusan ini sebenarnya sudah di duga sebelum ini, dengan angin-angin yang bertiup, tidak sukar meramal keputusan ini.
Secara dasarnya, keputusan ini di ambil secara 'tepat' bagi mengembalikan 'kuasa' PBB dan parti yang di dalam komponen BN Sarawak sebelum ini. Keputusan ini amat penting untuk 'mengekalkan' komponen parti-partinya, dan 'melupuskan' sentimen BN yang kalah teruk sebelum ini.
Dengan pembubaran BN Sarawak, secara rasmi BN Sarawak sudah tidak lagi wujud di Sarawak, walaupun begitu, kita harus memahami penukaran 'nama' sahaja tidak mungkin akan memberikan 'impak' yang positif untuk perjuangan rakyat Sarawak. Malah kita harus memahami, selama ini,merekalah orang yang sama 'bekerja membangunkan' Sarawak. Adakah penukaran kepada sebuah parti kononya ala Sarawak akan memberikan suatu yang positif untuk masyarkat Sarawak khususnya?
Adakah sebelum ini, komponen BN Sarawak bukanlah terdiri daripada parti tempatan?
Kenapa selama di dalam BN Sarawak tidak dapat memperjuangkan dengan benar hak-hak Sarawak? Dan kini dengan Gabungan Parti Sarawak, apakah 'nama' itu lebih penting daripada susuk sebuah perjuangan yang ikhlas?
Tidak di nafikan, di dalam PBB mempunyai pemimpin yang berintegriti, namun selama PBB dan komponennya bersama, pembinaan tokoh-tokoh pemuda yang berkebolehan amat kurang di perhatikan, kemungkinan terlalu selesa sehingga tidak 'lalek' dengan semua itu, dan kemungkinan tidak mahu mereka yang terlalu 'bersuara' dalam PBB agar 'orang tua' dalam PBB terus memegang tampuk kuasa. Akhirnya, PBB Sarawak nampaknya sudah bangun dari tidurnya yang lena, namun bangkit dari tidur puluhan tahun, tentu berbeza mereka yang bangkit dari mimpi indah semalam. Hanya indah, tetapi bukan kenyataan.
Bagi penulis, PBB dan parti komponennya adalah mereka yang 'lemah' dalam perjuangan. Pembubaran BN Sarawak di harap bukan hanya sekadar mahukan 'kuasa' kembali, tetapi tuntutannya adalah 'bekerja untuk rakyat'. Dengan kuasa, kita dapat melakukan kerja yang sepatutnya kita laksanakan puluhan tahun dahulu (rujuk Surat Terbuka buat YAB Abang Johari).
Pembubaran BN Sarawak yang penulis anggap sebagai 'hanya' ingin menjenamakan 'produk' lama, seolah-olah ia produk baru. Hakikatnya ia adalah produk lama yang hampir pupus.
Walaupun begitu, kita masih berharap, masih membuka harapan kita, agar kerajaan pemerintah Sarawak sekarang benar-benar fokus membangunkan kemudahan air, elektrik dan jalanraya di SELURUH SARAWAK. Agenda ini biarlah di letakkan di dalam prioriti pertama dan utama. Pelan ini perlu di rangka dari sekarang melalui beberapa fasa sehingga Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini akan lebih membangun dari negeri Selangor dan Johor. Adakah ini hanya omongan kosong?
Omongan kosong itu hanya untuk mereka yang bermimpi di siang hari, bukan untuk mereka yang bekerja siang dan malam.
Harapan kita, letaklah apa-apa nama gabungan pun, dan memainkan sentimen ala-ala Sarawak, tanpa kerja keras, tanpa penstrukturan 'baru', dan hanya retorik dimainkan, kerajaan pemerintah tidak akan dapat lagi pergi jauh dengan 'gaya santai'. Intipatinya adalah kerja keras, jika tidak, ketahuilah masa akan mengubahnya, rakyat sebagai kuasa baru kini, yang berhormat adalah khadam rakyat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri buat muslimin dan muslimat.
Kamek Sayang Sarawak!
Bahtiar b Hj Mahidin
12 Jun 2018
4.25 petang





0 comments