Berniaga Tidak Sukar, Namun Tidak Mudah.
********************************************
Tulisan kali ini, saya cuba berkongsi sedikit tips perniagaan terutamanya bagi yang berminat menceburi bidang perniagaan, dan jika kesempatan yang ada, akan di panjangkan tips perniagaan ini secara tulisan bersiri.
Sebelum itu, saya perkenalkan diri saya secara ringkas, secara benarnya saya tidak mempunyai latarbelakang perniagaan, tidak mempunyai pendidikan dalam perniagaan dan pada mulanya saya tidak tahu bahawa saya boleh bekerja dalam perniagaan yang diusahakan bersama, Bestway Tours & Travel Sdn Bhd.
Saya cuba menulis dalam keadaan santai, tetapi penuh makna dan bermanfaat. Mungkin penulisan ini kadang-kadang bersifat peribadi, namun percayalah ia mempunyai manfaat umum bagi mereka yang berminat dalam perniagaan. Saya sebenarnya lulusan kejuruteraan, seperti mana saya ceritakan tadi, saya tidak pernah belajar apa-apa tentang bisnes, tidak pernah!
Minat
Namun, tahukah kenapa saya berada dalam bidang perniagaan sampai sekarang? Jawapannya ada dalam diri kita, iaitu minat. Ketika minat ‘mendesak’ dalam diri, semuanya akan jadi mudah, akan menjadi suka, akan menjadi kesungguhan, akan menjadi sesuatu yang amat seronok. Dalam erti kata lain ia adalah ‘passion’. Maka, kata kunci pertama adalah minat, lebih khusus lagi adalah minat berniaga.
Seorang yang ‘passion’ terhadap kerjayanya akan melakukan sungguh-sungguh pekerjaannya, ‘passion’nya dalam perniagaan bukan untuk mengejar keuntungan, bukan untuk menjadikannya kaya, tetapi lebih kepada menjayakan sesuatu perniagaan, dan gembira apabila melihat kejayaan tersebut. Kekayaan itu, jika di takdirkan akan datang kemudian, apa yang penting bagi pendiri perniagaan adalah kepuasan hatinya melihat perniagaannya maju dan berdaya saing.
Saya mengingati kembali, ketika usia muda saya, ketika saya sudah tamat pengajian di universiti, hampir lama juga saya menganggur dan akhirnya saya membantu ibu saya menjual nasi lemak, mee hoon dan karipap di hadapan rumah saya, bukan saya yang memasak, cuma tugas saya cuma menjadi penjual. Berdiri dan membungkus makanan tersebut kepada pembeli. Terus-terang, ibu saya memang pandai memasak, setiap hari, hampir semua yang di masak dan di bungkus akan habis. Berbulan lama juga saya menjadi penjual nasi lemak, saya rasa seronok berjumpa penjual dan proses jual beli itu amat menyeronokkan walaupun saya tidak nampak keuntungan di hadapan mata saya.
Perniagaan Pertama
Lama menganggur, saya di terima bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Saya berhenti menjual nasi lemak, dan perniagaan saya tidak berhenti di situ. Ketika itu, perniagaan Kek Lapis Sarawak amat berharga, dan kebetulan saya adalah peminat kek dan roti. Dalam saya bekerja dalam bidang perniagaan, dalam masa terluang saya melakukan perniagaan atas talian (ketika itu baharu lagi istilah perniagaan atas talian). Perniagaan atas talian saya yang pertama adalah kek lapis Sarawak!
Apakah mudah menjual kek lapis Sarawak di internet? Apakah keperluan yang perlu ada? Apa yang mempengaruhi pembeli membeli dari laman web kita? Apa yang membuatkan pembeli berminat? Apa dan kenapa? Bagaimana operasi dari web/blog ke pembeli? Internet dan blog bukan asing bagi saya ketika itu, membuat blog, belajar sehingga saya mahir adalah minat saya, sekali lagi ‘keyword’ nya adalah minat. Saya pernah tidak tidur semalaman membuat web, kerana minat. Berbalik kepada perniagaan kek lapis tadi, langkah pertama saya adalah mencari pembekal kek lapis yang sedap dan berkualiti di Kuching (sebenarnya saya sudah tahu dan melihat potensi kedai kek lapis Sarawak di Kuching yang masa itu, keknya berkualiti dan boleh di jual), maka sudah tentu tidak ada masalah.
Saya membeli kesemua kek lapis yang saya hendak jual, mengambil gambar satu persatu, dan juga merasai semua kek yang saya beli, kerana saya ingin tahu rasa dan boleh menceritakan kepada bakal pembeli bagaimana rasa kek tersebut. Gambar kek saya letakkan dalam blog, blog saya bernama lamankeklapis.blogspot.com adalah blog yang diubahsuai 4-5 kali sehingga rekabentuk blog sekarang.
Penentuan Harga & Penyelesaian Masalah
Setelah selesai blog jualan, saya kembali kepada asas penentuan harga, sekali lagi, semua perniagaan mesti mempunyai ilmu asas. Saya menentukan harga kek dan harga kek ini termasuk harga kos pengeposan, dan juga ‘safety cost’. Safety cost ini saya ambik dari bidang kejuruteraan, dan saya rasa boleh terpakai dalam bidang perniagaan. Cabaran penentuan harga adalah kita menilai harga pasaran yang terkini dan secara jujurnya kita tidak mampu bersaing dengan peniaga kek jualan maya, yang mereka betul-betul dari peniaga kek lapis, mereka membuat kek lapis dan menjualnya sendiri, sedangkan saya mengambil kek lapis dari kedai lain, dan menjualnya dari blog secara atas talian.
Akhirnya, saya mempunyai katalog harga dengan harga yang tertera adalah harga termasuk kos pos, maka pembeli tidak binggung lagi memikirkan kos pos sepertimana peniaga maya lain yang meletakkan secara berasingan. Percaya atau tidak, saya sudah berjaya menyelesaikan masalah dalam pasaran kek lapis Sarawak yang pembelinya majoriti adalah dari Semenanjung. Satu sikap perniaga/usahawan adalah menyelesaikan masalah. Pada masa itu, kurang peniaga kek lapis menjual secara efektif secara maya, itulah ruang yang saya bina dan kembangkan.
Kreatif & Inovatif
Bagi menarik jualan, prosedur dan proses membeli dari blog kita mestilah mudah dan mesra. Kita berhadapan dengan pelanggan yang pelbagai dan kadang-kadang mereka tiada masa untuk memikirkan masalah prosedur pembelian. Dari sini, kita mestilah kreatif dan inovatif dalam memastikan perkara ini lancar dan mesra. Blog kita mesti mudah di baca dan tidak memeningkan kepala pembeli. Blog juga mesti menyatakan panduan pembelian, dengan ringkas, juga mempunyai form online pembelian produk. Dahulu, tiada whatsapp, perhubungan talian melalui SMS dan juga e-mail.
Gambar juga memainkan peranan penting untuk pembeli. Tarikan gambar dan penceritaan kita di dalam blog membuatkan pembeli berminat. Minat mereka akan di terjemahkan dengan membeli. Gambar mesti kreatif dan menarik. Dalam konteks yang lain, apa-apa yang kita hendak pasarkan (produk) mestilah mempunyai gambar yang jelas, menarik dan kreatif. Gambar adalah ‘pemasaran’ jualan secara tidak langsung.
Kepercayaan
Kepercayaan. Dalam perniagaan mesti dan wajib ada kepercayaan. Bagaimana kita hendak menjual tanpa ada kepercayaan, bagaimana pembeli hendak membeli tanpa kepercayaan?
Soalannya, bagaimana kita mewujudkan kepercayaan pembeli? Yang pertama, kita harus percaya diri, kita harus jujurkan diri, kita harus mempunyai sifat amanah dalam diri, kita harus memberi gambaran yang benar dan jujur dalam blog pengenalan produk kita.
Yang kedua, kita yakinkan pembeli dengan memberikan bukti-bukti yang di perlukan oleh pembeli (ini di peringkat awal), malah kita letakkan no siri pos laju di dalam blog kita pada awalnya agar mereka boleh semak sendiri no siri itu secara talian. Ini semua untuk mendapatkan kepercayaan pembeli.
Cukup sekadar ini sahaja dahulu, jika berkesempatan saya akan ceritakan bagaimana saya mendapat jualan dari blog kek lapis saya bernilai RM35,000 dalam masa 3 bulan sebelum hari raya aidilfitri.
Bahtiar b Hj Mahidin





0 comments